Friday, February 13, 2009

Ultra Sound

Pemeriksaan Ultrasound Semasa Kehamilan
Pemeriksaan ultrasound adalah antara pemeriksaan biasa dilakukan semasa kehamilan. Apakah tujuannya? Bilakah ia dilakukan? Adakah ianya selamat?
Di tempat-tempat yang memiliki kemudahan ini ianya sangat baik jika dilakukan di trimester pertama dan pada minggu yang ke 18.
Kemudian diulang, mungkin di minggu ke 34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.
Ia dilakukan apabila tarikh kedatangan haid yang terakhir tidak diketahui dan juga di kalangan pesakit yang kedatangan haidnya tidak menentu.
Tujuan ultrasound ialah:
Trimester pertama:


Mengesahkan kehamilan adalah normal
Menganggar usia kehamilan
Membantu diagnosa komplikasi kehamilan seperti pengguguran tertinggal, kehamilan ektopik dan kehamilan molar.
Melihat kadar denyutan jantung bayi
Mengenalpasti masalah plasenta, rahim atau pevis.

Pemeriksaan di trimester kedua dan ketiga juga boleh dilakukan untuk:

Usia kehamilan, perkembangan, posisi dan kadang-kadang jantina bayi
Kehamilan molar.
Menilai plasenta, cecair ketuban dan pelvis.


Bagaimanakah ultrasound ini dilakukan?
Anda hanya perlu berbaring di atas kerusi panjang.
Gel berasaskan air akan disapukan secukupnya ke perut anda. Ia membantu gelombang bunyi ini dipindahkan.
Gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi akan dihasilkan oleh kuar ultrasound dan ia digunakan untuk menghasilkan gambar bayi. Anda akan dapat melihatnya di skrin.

Gambar yang terbaik dapat dihasilkan apabila pundi kencing anda penuh. Seeloknya anda minum 2-3 cawan air sejam sebelum prosedur ini dijalankan. Ini dilakukan di peringkat awal kehamilan. Di akhir kehamilan anda, rahim akan menonjol keluar dari rerongga pelvis dan anda tidak lagi perlu mengisi pundi kencing sebegitu banyak.

Prosedur ini mengambil masa antara 5 - 30 minit.
Prosedur ini tidak mendatangkan sebarang kesakitan. Cuma mungkin anda rasa sedikit tidak selesa kerana gel itu basah, melekit dan sejuk.
Keselamatan Ultrasound
Kajian menunjukkan pemeriksaan ultrasound adalah selamat. Tiada kesan sampingan pada ibu atau bayi. Ia tidak menggunakan radiasi, tidak seperti ujian X-ray. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh hadkan penggunaan ultrasound hanya jika perlu, berbincang dengan doktor anda.

Jenis Ultrasound Lain
Terdapat beberapa jenis lain pemeriksaan ultrasound seperti ultrasound melalui vagina, ultrasound 3D dan 4D dan sebagainya.



Sumber:
Jagaan Semasa Mengandung, infosihat.gov.my
Pregnancy Ultrasound, MedlinePlus Medical Encyclopedia
Pregnancy Ultrasound, Webmd

No comments:

Post a Comment